Saturday 4 January 2014

"10 AMALAN YANG TERBALIK"


Hari ini admin nak ajak kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali
tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita
adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam.
Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.
Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut supaya makan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun.
Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri.
Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.
8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan.
Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah.
Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita.

Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat."
(Riwayat Bukhari)


Hikmah Jari

ASSALAMUALAIKUM...


"Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari anda yang lima.

Cuba perhatikan perlahan-lahan jari anda. Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka.

Renung dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu jangan diabaikan.

Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan.....

Bermula daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar.
Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya.
Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil.
Bak kata pepatah "melentur buluh biarlah daripada rebungnya".
Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya.
Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini.
Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira.. pada ketika ini,alam remaja menjengah diri.
Awas!!! Di usia ini sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan.
Hanya iman dan taqwa menunjuk jalan kebenaran.
Pada usia ini, anda sudah baligh dan mukalaf.
Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil.
Bersediakah anda??

Nah...naik kepada jari ketiga.
Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya.
Zaman remaja ditinggalkan.
Alam dewasa kian menjengah.
Di peringkat umur 30-an ini seseorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh.
Namun, anda mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak "hantu-hantu pengacau" yang datang menggoda.
Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi.
Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan.
Justeru itu, amal ibadat mesti dilipatgandakan.

Kita beralih kepada jari telunjuk.
Jari inilah yang mengungkap satu dan esanya Allah SWT ketika solat.
Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini.
Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan.
Manusia yang berada di tahap usia ini,hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat.

Akhir sekali, renung ibu jari.
Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan.
Tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara.
Bak kata orang Jawa "cap jempol" atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar.
Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman.
Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata "good" atau "yes" sambil menggengam semua jari dan angkat ibu jari ke atas itulah rahsia kejayaan anda.

Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima-limanya itu.
Renung dan fikir dalam-dalam. Dimanakah anda sekarang???"


sekadar penyampai sahaja... untuk renungan kebesaran ciptaan Allah swt...